Raghad Kurdi Taib memfailkan laporan polis menafikan dakwaan awal bahawa suaminya, bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud telah dibawa keluar dari Hospital Pakar Normah (Hospital Normah) di Kuching awal bulan ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media hari ini, Raghad berkata dakwaan dalam laporan yang difailkan pada 4 Feb, adalah "jelas palsu dan amat membimbangkan".
"Sebagai isteri dan penjaga Taib, saya meletakkan kesihatan dan kesejahteraan suami saya sebagai keutamaan dan tidak akan sekali-kali mengambil tindakan tanpa maklumat untuk menjejaskan penyembuhannya," katanya.
Menurut Raghad, kenyataannya hari ini bertujuan untuk menyangkal beberapa laporan terkini.
"Taib tidak 'dibawa keluar' dari Hospital Normah. Susulan daripada doktor yang bertugas, kelulusan Dr Tan Sian Kong untuk discaj pada 3 Feb, saya memaklumkannya mengenai temu janji Taib dengan Dr Rosli di Hospital CVS Kuala Lumpur.
"Dr Tan meluluskan discaj dan melihat Taib boleh melakukan perjalanan. Surat rujukan Dr Tan ke Hospital CVS Kuala Lumpur membuktikan lagi kesahihan discaj dan kemasukan yang dirancang.
"Keputusan untuk membawa pulang Taib adalah berdasarkan persetujuan termaklum dan haknya untuk memilih penjagaan terbaiknya. Semua dokumen discaj yang diperlukan mengikut prosedur hospital telah ditandatangani dan semua kakitangan hospital yang berkaitan mengetahui tentang discaj itu.
"Dalam keselesaan di rumah sendiri, dia mempunyai sokongan perubatan 24 jam (termasuk jururawat dan lawatan doktor berjadual), peralatan yang diperlukan, dan ubat-ubatan untuk penjagaan dan pemulihan sementara menunggu kemasukan ke Hospital CVS Kuala Lumpur di bawah jagaan Dr Rosli," katanya.
Raghad juga menafikan dia bertindak mencabut perananti perubatan tanpa memaklumkan kakitangan yang bertugas.
“Permintaan bantuan dalam untuk mencabut perananti perubatan tidak diendahkan oleh kakitangan hospital walaupun berkali-kali diminta.
“Layanan buruk dan nasihat perubatan yang tidak konsisten adalah isu serius yang perlu diteliti dan disiasat oleh pihak hospital.
"Tuduhan palsu telah menyebabkan tekanan dan kekeliruan yang tidak perlu," tambahnya.
Dia berkata bahawa dia telah memfailkan laporan polis untuk menyangkal dakwaan ini dan melindungi privasi dan hak Taib untuk memilih rawatan perubatannya.
“Kami bersedia sepenuhnya untuk bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan dan akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Hospital Normah jika perlu.
“Saya menggesa orang ramai untuk tidak mengendahkan laporan yang mengelirukan dan menghormati hak Taib untuk privasi dan
keputusan perubatan yang termaklum," katanya.
Taib dilaporkan sedang dirawat di unit rawatan rapi Pusat Pakar Perubatan Normah apabila Raghad didakwa membawanya keluar dari hospital pada petang 3 Feb.
Menurut laporan polis yang dibuat oleh doktor, Raghad didakwa telah mencabut perananti perubatan yang melekat pada Taib tanpa memaklumkan kakitangan hospital.
Dia kemudian diletakkan di atas kerusi roda dan dibawa keluar dari hospital.
Laporan polis kedua oleh ahli keluarga Taib yang lain dilaporkan telah dibuat pada Ahad, 4 Feb berdasarkan laporan pertama.
Menurut laporan polis kedua, tiada seorang pun daripada adik-beradik atau empat anak Taib dimaklumkan tentang keberadaan dan keadaan kesihatannya.
Susulan itu, Raghad mengeluarkan kenyataan di Instagram menafikan dia membawa suaminya keluar dari hospital tanpa kebenaran doktor.
Dia mendakwa mempunyai bukti dalam bentuk nota jururawat tulisan tangan.
Dia kemudian mendakwa bahawa dia menjadi sasaran fitnah jahat yang cuba memburukkan imejnya.
Raghad juga menafikan tuduhan bahawa dia merancang untuk meninggalkan negara itu.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain kemudian pada 7 Feb mengulas bahawa dakwaan Taib telah diculik dari hospital adalah tidak masuk akal.
Pada 11 Feb, dia membuat kenyataan susulan bahawa Taib sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Taib berkhidmat sebagai ketua menteri keempat Sarawak dari 1981 sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua ketujuh Sarawak pada 2014. Dia sepatutnya kekal memegang jawatan itu sehingga akhir bulan ini.
Bagaimanapun, tempoh jawatannya sebagai Yang Dipertua dipendekkan dan diganti oleh bekas presiden Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar bulan lepas.