Imigresen gempur penempatan haram, tahan 132 warga asing

Shopee Sale

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 132 pendatang tanpa izin dalam operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam, dekat Shah Alam awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Jafri Embok Taha berkata operasi bermula 2.38 pagi itu menahan warga Indonesia yang terdiri daripada 76 lelaki, 41 wanita serta 13 kanak-kanak dan bayi berusia sembilan bulan, selain dua lelaki warga Bangladesh.

Beliau berkata hasil risikan dan aduan yang diterima pihaknya mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak empat tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.

“Warga asing ini dipercayai menyewa kawasan berkenaan daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka. 'Ketua Kampung' di sini mendakwa mereka berkongsi membayar kira-kira RM6,000 sebulan untuk sewaan tanah seluas 0.6 hektar itu.

“Di kawasan penempatan haram ini turut menempatkan kedai runcit, warung dan surau. Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran dan buruh binaan di kawasan sekitar,” katanya selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa.

“Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok di bawah kolong rumah dan mengunci diri (dalam rumah) supaya tidak ditahan pihak berkuasa," katanya menambah operasi itu mengambil masa selama hampir tiga jam.

MENARIK:  Gagal terjemah artikel ke BM: Saman fitnah terhadap Rewcastle dibatal

Jafri berkata operasi itu melibatkan 220 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara manakala kesemua pendatang tanpa izin berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Ditanya tentang tindakan yang akan dikenakan terhadap pemilik tanah berkenaan, beliau berkata semakan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63.

Jafri turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi mana-mana pendatang tanpa izin.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular