‘Hormat keputusan mahkamah seperti titah Sultan Selangor’

Shopee Sale

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar mengingatkan agar semua pihak merujuk titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah agar menghormati keputusan mahkamah berhubung pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan baru-baru ini.

Mohd Na'im Mokhtar berkata ini kerana selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) baginda telah bertitah supaya semua pihak tanpa ada sebarang pengecualian harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Saya rasa saya kembali kepada titah Duli Tuanku.

“Duli Tuanku Sultan Selangor sebagai pengerusi MKI telah menyatakan hasrat dan titah baginda supaya kita semua tanpa ada sebarang pengecualian menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Jadi, saya harap dengan titah yang agak jelas dari Duli Tuanku yang mengatakan bahawa kita semua kena menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak lain dan tidak bukan sepertimana yang dijelaskan oleh perdana menteri dalam ucapan beliau diasaskan kepada tafsiran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) 2024, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Naim, titah Sultan Selangor itu adalah hakikat yang perlu diterima semua pihak.

“(Titah baginda) hakikat yang perlu diterima dan saya menjunjung kasih atas nasihat Duli Tuanku dan siapa saja boleh berikan pandangan tetapi kita kena kembali kepada titah Tuanku,” tegasnya.

Naim berkata demikian mengulas kritikan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung isu itu.

Abdul Hadi dalam catatan Minda Presiden PAS Khamis lalu berkata walaupun telah mencapai kemerdekaan, negara-negara Islam hilang integriti akibat mengekalkan undang-undang penjajah.

Menurut Abdul Hadi, para pejuang kemerdekaan suatu ketika dahulu telah meletakkan batu asas dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana Islam sebagai agama bagi Persekutuan, manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Namun semenjak itu dakwanya, banyak pindaan undang-undang dibuat dengan meninggalkan syariat Islam.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana kes atau memberi konteks terhadap ulasan tersebut.

Tulisan Hadi itu disiarkan sewaktu pelbagai pihak memberikan reaksi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Ia juga disiarkan pada hari yang sama selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran bahawa pihaknya sedang memantau reaksi orang ramai terhadap kes tersebut.

MENARIK:  Usaha galak pengeluaran Musang King, Duri Hitam antara tumpuan Dewan Rakyat

RUU 355 di peringkat akhir

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd Na’im berkata kerajaan dijangka akan membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tahun ini.

Mohd Na’im berkata, langkah itu akan dibuat selepas pihaknya selesai membentangkan laporan akhir sesi libat urus dengan pihak berkepentingan berhubung pindaan berkenaan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan keputusan dasar.

“Setakat ini libat urus yang dilakukan oleh bahagian undang-Undang Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) telah berjalan dan semua negeri termasuk Majlis agama Islam negeri, Mahkamah Syiah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri telah dijemput menghadiri sesi libat urus tersebut.

“Saya difahamkan oleh ketua pengarah Jakim bahawa libat urus itu diperingkat akhir, jadi laporan belum lagi disediakan dan insyallah mereka akan sediakan laporan libat urus itu kepada saya. Kita harap insyallah (tahun ini dibentangkan). Saya akan bincang dengan PM berkaitan dengan ini.

“Sepertimana semua sedia maklum kita akan bawa semula cadangan pindaan RUU355 ini kepada Kabinet untuk mendapat keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya.

Terdahulu Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary yang juga bekas timbalan menteri hal ehwal agama ‘menjemput’ Umno menyambung usaha PAS membentangkan RUU 355.

Katanya, draf RUU 355 telah disiapkan “dengan sempurna”, serta disemak dan diluluskan oleh Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara pada 7 Okt 2022 semasa PAS dalam kerajaan.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular