Abdul Hadi Awang kekal tidak berganjak dengan pendiriannya susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan.
Dalam catatan terbaru di Facebook, presiden PAS itu mengulangi pendiriannya dengan alasan peringatan kepada semua umat Islam bertujuan supaya mereka menjaga akidah masing-masing.
“Saya sekadar memberikan peringatan kepada penganut Islam supaya menjaga dan mempertahankan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua yang terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk ahli Parlimen dan Adun, bahkan Raja-Raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja,” katanya.
Minggu lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), menggesa semua pihak agar bertenang serta menghormati keputusan mahkamah dan Perlembagaan Persekutuan.
Abdul Hadi dalam hantaranya, juga mengingatkan bahawa Islam adalah keutamaan.
“Tegakkan Islam, semua pasti akan selamat. Tegakkan yang lain tanpa Islam, semuanya tidak akan selamat.
“Begitulah kedudukan Islam yang wajib diperjuangkan oleh penganutnya yang setia dan beristiqamah,” katanya.
Bagi Abdul Hadi, Perlembagaan Persekutuan, telah digubal oleh penjajah yang merancang kemerdekaan yang menipu umat Islam, dengan tujuan tidak mahu sekali-kali memberikan kuasa kepada Islam.
“Terlalu banyak bom jangka yang dipasang sehingga ia boleh meletup, yang bertujuan menghancurkan agama, bangsa, bahasa, dan tanah air.
“Sepatutnya, kita menunaikan kewajipan merungkai dan merombak semula ikatan penjajah itu dengan pemikiran kita yang dibebaskan daripada belenggu penjajah,” katanya.
Justeru, menurutnya perlu ada usaha untuk "merungkai" ikatan penjajah ini.
Memetik beberapa ayat al-Quran, presiden PAS mengingatkan mereka yang berkuasa dan berjawatan, bahawa tindakan mereka akan dipersoalkan di alam kubur serta dihisab pada hari akhirat nanti.
“Kita telah diperanangkap oleh penjajah (bukan Islam) supaya terpengaruh dengan nasihat mereka yang sesat daripada petunjuk Allah,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Perlembagaan Persekutuan tersurat dengan perkara-perkara yang masih menjajah fikiran bagi menyesatkan orang ramai daripada Islam.
“Sepatutnya, kita tidak membaca perlembagaan yang disediakan itu sehingga terikat dan dikongkong dengan perkara yang tersurat sahaja.
“Gunakanlah kebijaksanaan untuk memahami perkara yang tersirat menjadi akidah dan iman kita dengan mentafsirkan perlembagaan atau menggunakan hak memindanya ke jalan yang betul mengikut petunjuk Allah secara istiqamah. Tidakkah sudah banyak perkara yang telah dipinda dalam perlembagaan tersebut?”soalnya.
Hadi seterusnya mengimbau kembali "kebijaksanaan" hakim-hakim veteran terdahulu yang telah mengemukakan cadangan mereka berhubung isu ini, termasuk Allahyarham Salleh Abas.