Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan hari ini adalah sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini oleh rakyat.
Kod Etika Wartawan Malaysia yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama, dan dilancarkan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Lapan etika berkenaan adalah wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk; wartawan hendaklah telus dan berintegriti; dan wartawan digalakkan berlaku adil dalam menyampaikan informasi.
Etika lain adalah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka, dan wartawan perlu memberi keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
JaPen dalam kenyataan sempena pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia berkata kod berkenaan turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan Kad Perakuan Media (KPM) JaPen.
KPM merupakan dokumen pengenalan diri pengamal media daripada agensi media yang diperakukan oleh kerajaan bagi memudahkan urusan liputan acara rasmi.
Etika Kewartawanan Malaysia yang diterbitkan oleh Malaysian Press Institute (MPI) pada 1989 menjadi rujukan utama JaPen bagi pengurusan KPM JaPen sebelum ini.
“Seiring dengan evolusi industri media, kod etika itu dikemas kini dan menjadi panduan oleh semua pemegang KPM JaPen dalam melaksanakan tugas demi mendukung pembentukan masyarakat yang berinformasi,” menurut kenyataan itu.
Turut hadir pada majlis peramian kod etika wartawan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid