Fahmi akan kongsi kejayaan M’sia terajui pelaksanaan 5G di MWC 2024

Shopee Sale

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan berkongsi mengenai pencapaian Malaysia menerajui pelaksanaan rangkaian 5G negara pada ucaptamanya di Mobile World Congress Barcelona (MWC 2024), Sepanyol pada 26 Feb hingga 29 Feb ini.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata beliau turut akan berkongsi mengenai cabaran pelaksanaan rangkaian 5G negara, yang pelaksanaannya sudah mencapai 80.2 peratus setakat 31 Dis lepas.

“Dalam kongres kali ini, semestinya antara perkara yang kita akan lapor adalah pencapaian Malaysia menerajui pelaksanaan rangkaian 5G.

“...Malaysia mampu melakukannya (melaksanakan rangkaian 5G) dan kita menjadi bukti pertama di dunia rangkaian 5G dapat dilaksanakan menggunakan konsep rangkaian borong. Ini antara perkara yang kita akan bangkitkan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

MWC 2024 yang akan dihadiri Fahmi, merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa, Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang bakal mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.

Pada 8 Sept lepas, Fahmi dalam hantarannya di X berkata beliau telah menerima jemputan khas daripada GSMA untuk menyampaikan ucaptama di MWC 2024. Jemputan khas itu diterima Fahmi semasa mesyuarat dua hala antara Kementerian Komunikasi dan GSMA di ibu negara, yang merupakan sesi susulan selepas mesyuarat pertama di Ibu Pejabat GSMA, London pada 14 Jun 2023.

Berkongsi penyertaan Malaysia di MWC 2024 nanti, Fahmi berkata selain mewujudkan Pavilion Malaysia yang disertai penyedia syarikat telekomunikasi negara, beliau juga akan mengadakan beberapa perbincangan dengan pemain industri telekomunikasi antarabangsa dan GSMA bagi meneliti teknologi baharu dalam sektor itu.

“Selain rangkaian 5G, ada rangkaian 5.5G dan beberapa teknologi baharu. Semestinya bagi Kementerian Komunikasi dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sangat minat untuk mengenali dengan lebih mendalam teknologi yang mampu menyelesaikan masalah kesalinghubungan di kawasan-kawasan yang tiada liputan di seluruh negara.

“Ia meliputi meliputi kawasan di pedalaman dan kawasan-kawasan yang mungkin merupakan kawasan pelancongan, tetapi tiada penduduk serta laluan penting seperti trunk road atau laluan utama antara kawasan yang berpenduduk. Jadi ini antara perkara yang akan kita usahakan,” katanya

MENARIK:  Bedah siasat Nur Farah Kartini selesai petang tadi

Sementara itu, Fahmi berkata Kabinet masih belum memutuskan mengenai syarikat pengendali mudah alih (MNO) yang akan kekal bersama Digital Nasional Bhd (DNB) atau suatu entiti yang akan dibentuk apabila kerajaan beralih kepada model dwirangkaian 5G kelak.

Katanya ketika ini perbincangan berhubung perkara itu yang tertumpu kepada penubuhan satu lagi rangkaian selain DNB masih berjalan dan belum mempunyai kata putus.

“Perbincangan masih berjalan dalam menentukan syarikat MNO yang akan kekal bersama DNB dan satu lagi rangkaian iaitu separuh bersama DNB dan separuh lagi ke satu lagi entiti.

“Dalam masa yang sama, liputan rangkaian 5G masih kekal pada kadar 80.2 peratus seperti dilaporkan pada Disember lepas,” katanya.

Pada 10 Jan lepas, Fahmi dilaporkan berkata perkhidmatan rangkaian 5G telah mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk setakat 31 Dis, melepasi sasaran 80 peratus yang ditetapkan dan menjangkakan kerajaan akan mengumumkan peralihan daripada rangkaian borong tunggal kepada dwirangkaian bagi pelaksanaan 5G.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular