ECRL tidak akan ke Johor buat masa ini

Shopee Sale

Belum ada keperluan untuk menyambung projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) ke Johor buat masa ini, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.

Dia berkata, buat masa ini dari Lembah Klang ke Johor sudah ada projek landasan berkembar yang menghubungkan KL Sentral dan JB Sentral.

"Buat masa ini dari Lembah Klang ke Johor, kita tengah buat 'double tracking'... jadi, kita habiskan (siapkan) dulu 'double tracking'.

"Saya rasa perkara utama kita habiskan (siapkan) projek ini (ECRL) dulu, kita operasikan projek ini dulu," katanya ketika sidang media di Kuantan, Pahang, semalam.

Terdahulu dia melancarkan Laporan Impak Sukuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bagi Projek ECRL di Tapak Projek ECRL Seksyen 10, dekat Kuantan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak.

Projek landasan berkembar disebut Amir Hamzah itu dipercayai merujuk kepada Landasan Berkembar Lembah Klang 2 (KVDT2) dan Projek Landasan Berkembar Elektronik (PLBE) Gemas - Johor Bahru.

Projek PLBE membabitkan laluan sepanjang 192 kilometer itu dijangka siap pertengahan tahun ini.

Manakala KVDT2 pula dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

Sebelum ini, seorang pengarah strategi mencadangkan jajaran ECRL disambung ke negeri Selatan tanah air itu.

Ini kerana, katanya, ia bersesuaian dengan pelancaran Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, baru-baru ini.

MENARIK:  PM: Ramai dah mula hilang keyakinan pada Bersatu

Sementara itu, mengulas berkaitan progres pembinaan landasan ECRL, Amir Hamzah berkata, sehingga Januari lalu, sebanyak 78.5 peratus kerja pembinaan di empat negeri - Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor - sudah disiapkan.

"Tahap kemajuan ini meyakinkan kita selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026 dan beroperasi awal tahun 2027.

"Seperti yang Darwis cakap dalam ucapan sebentar tadi, dua kali (sambutan) Syawal lagi, warga Pantai Timur boleh pulang ke kampung halaman menggunakan ECRL," jelasnya.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular