Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk mengekalkan keistimewaan sedia ada yang diterima penjawat awam semasa berkhidmat atau selepas persaraan khususnya berkaitan penerimaan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata Cuepacs turut melahirkan rasa bimbang dengan situasi semasa yang berlaku terutama dalam hal melibatkan pesakit jantung dalam kalangan penjawat awam dan pesara.
“Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi maklum balas bahawa kes tersebut melibatkan pesakit yang sudah stabil, Cuepacs berpandangan adalah lebih wajar kerajaan terus membenarkan pesakit sedia ada di IJN kekal mendapatkan rawatan terbaik di situ tanpa perlu mengeluarkan atau merujuk semula mereka ke hospital lain milik KKM.
"KKM sendiri memaklumkan mereka telah merujuk kes-kes kompleks dan pesakit jantung kritikal ke IJN bertujuan untuk mengurangkan 'kesesakan dan masa menunggu yang lama' di Pusat Jantung milik KKM,” kata Adnan dalam kenyataan hari ini.
Adnan berkata tindakan mengeluarkan pesakit sedia ada di IJN hanya akan menyebabkan kesesakan dan masa menunggu yang lama di Pusat Jantung KKM yang sememangnya sudah mempunyai pesakit sedia ada.
“Langkah tersebut juga mengakibatkan pesakit yang dikeluarkan daripada IJN terpaksa menunggu giliran lebih lama untuk dirawat memandangkan rekod semasa mereka di hospital lain masih baru dan perlu memberi ruang kepada pesakit sedia ada.
Sekiranya perkara ini terus berlaku pada masa hadapan, Cuepacs bimbang kebajikan penjawat awam dan pesara akan diabaikan terutama dalam mendapatkan rawatan yang terbaik apabila mereka tidak sihat,” katanya.
Adnan berkata suatu mekanisme atau pendekatan lain boleh diambil kerajaan sekiranya kos perbelanjaan yang menjadi punca utama permasalahan ini berlaku.
“Langkah penjimatan tidak seharusnya dijadikan asas dalam soal pemotongan perbelanjaan berkaitan penjagaan kesihatan kerana ia adalah keutamaan kerajaan untuk menjaga kebajikan penjawat awam dan pesara.
“Pemotongan kos untuk langkah penjimatan harus disasarkan kepada program ad hoc lain yang tidak mempunyai keutamaan di semua peringkat kerajaan dan bukannya melibatkan perkara berkaitan keperluan asas rakyat,” katanya.
-Bernama