Menteri Besar Pahang Wan Rosdi Wan Ismail berkata jumlah penduduk miskin tegar yang ada di negeri itu pada tahun lepas berkurangan sebanyak 60 peratus.
Katanya Laporan Kesejahteraan Rakyat Negeri Pahang merekodkan jumlah miskin tegar di negeri berkenaan pada 3 Jan 2023 ialah seramai 4,968 orang dan menurun kepada 1,946 orang pada 31 Dis tahun sama.
“Kejayaan pengurangan ini hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memberi pelbagai bentuk bantuan, sumbangan dan inisiatif serta projek pembangunan, yang secara langsung membuka peluang pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya.
Wan Rosdy berkata dia optimis usaha berterusan dilakukan kerajaan negeri akan dapat mengurangkan lagi jumlah miskin tegar di Pahang pada masa akan datang.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata hanya 184,822 individu di Pahang telah mendaftar dan mengemas kini data mereka di Sistem Pangkalan Data Utama (Padu), setakat 15 Feb berbanding 1.09 juta rakyat Pahang berusia 18 tahun ke atas.
Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap mereka yang masih belum mendaftar dapat berbuat demikian sebelum tarikh akhir iaitu pada 31 Mac.