Tugas menegakkan demokrasi dan menyuburkan agenda reformasi, kata Bersih, bukan hak eksklusif mana-mana pihak sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak.
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata atas prisip itu NGO terbabit sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa saja yang berkongsi aspirasi berenaan.
Katanya kesediaan menjalin kerjasama tersebut termasuklah dengan pembangkang yang inginkan sebuah negara yang lebih bersih, progresif serta inklusif.
“Bersih adalah sebuah badan bebas, tidak terikat dengan mana-mana pihak berkepentingan dalam memperjuangkan reformasi intitusi dan demokrasi ke arah lebih baik,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Semalam NGO pendesak pembaharuan pilihan raya itu mengadakan perarakan ke parlimen untuk menyerahkan memorandum tuntutan #Reformasi100Peratus kepada wakil rakyat.
Disertai kira-kira 100 peserta, beberapa ahli parlimen keluar untuk menerima memorandum tersebut.
Selain wakil blok kerajaan, ia juga diterima pihak pembangkang melalui wakil mereka, Ahmad Fadhli Shaari, yang juga ahli parlimen Pasir Mas.
Dia kemudian menyatakan sokongan terhadap tuntutan Bersih dan menganggap tuntutan tersebut selaras dengan dakwaan pembangkang selama ini bahawa kerajaan perpaduan sekadar "sembang kosong".
Sementara itu Timbalan Pengerusi Bersih, Wong Yan Ke, menyatakan sejak dulu lagi Bersih memang melakukan banyak sesi libat urus bersama semua pihak termasuk menteri serta ahli parlimen, sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.
Katanya melalui kerjasama sebegitu, Bersih berjaya menubuhkan sebuah kaukus pelbagai parti yang dianggotai 10 parti politik semasa pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Kaukus itu, katanya, dianjurkan bersama oleh Maria Chin - yang juga bekas pengerusi Bersih - serta Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.
Bersih juga menjadi ahli dalam Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia untuk meneliti penggubalan akta pendanaan politik di negara ini.
“Kami juga pernah menjayakan pindaan perlembagaan berkaitan dengan akta antilompat parti dengan melibatkan pihak kerajaan dan pembangkang ketika itu,” katanya.
Wong turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menganggap Bersih mungkin akan ditunggang oleh PN untuk menumbangkan kerajaan jika kerjasama tersebut dibentuk.
“Kita harus beralih daripada cara fikir yang menganggap tujuan demonstrasi atau protes semata-mata adalah untuk menumbangkan kerajaan, sebaliknya ia adalah satu pendekatan yang biasa dalam demokrasi.
“Ia harus dilihat sebagai peringatan kepada kerajaan atau kritikan yang membina supaya kerajaan kembali ke landasan yang sepatutnya,” katanya.