Bersih main wayang saja, kata Bersatu

Shopee Sale

Ketika PAS kelmarin menunjukkan kesediaan bekerjasama dengan Bersih dalam menuntut pembaharuan, Bersatu pula menampakkan skeptikal mereka terhadap kumpulan pendedak terbabit.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, bahkan berpendapat Bersih sekadar melepaskan batuk di tangga, bukannya benar-benar mahu mendesak kerajaan melaksanakan perubahan seperti yang dijanjikan mereka dulu.

“Okeylah kita (Bersatu) bersetuju dengan apa yang Bersih minta, tetapi saya nampak Bersih ini dah mula hilang taring," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Razali mendakwa individu yang memimpin Bersih suatu ketika dulu dan berdegar-degar menuntut pembaharuan sebaliknya kini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Mereka, katanya, tidak lagi dilihat memberikan perhatian kepada isu yang ditentang sebelum ini termasuk amalan nepotisme, kronisme, kenaikan harga barang dan seumapamanya.

“Jadi, pada saya (Bersih) ini semua nak main wayang saja di sebalik kegagalan kerajaan sekarang.

“Jadi, kalau (Bersih) nak main wayang tak payahlah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Razali yang juga exco Terengganu ditanya mengenai tuntutan Bersih terhadap kerajaan dan kempen #Reformasi100Peratus yang digerakkan NGO terbabit kelmarin.

Semalam, kira-kira 100 peserta menyertai himpunan #Reformasi100Peratus bagi bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi menyeluruh.

Kira-kira 100 orang berarak ke pekarangan bangunan parlimen seawal jam 8.30 pagi untuk menyerahkan memorandum tuntutan tersebut.

Beberapa ahli parlimen blok kerajaan keluar untuk menerima serahan berkenaan, manakala blok pembangkang diwakili Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen Muar yang kini menjadi wakil rakyat bebas turut menerima memorandum berkenaan.

Bersih dah tak ‘bersih’

Antara lain tuntutan Bersih ialah agar pelantikan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditambah baik, tiada lagi keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh mahkamah terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa, dan menolak pelaksanaan undang-undang dua darjat.

Semasa ditemui media, Ahmad Fadhli membayangkan kesediaan PN untuk bersama dengan Bersih mendesak kerajaan melakukan pembaharuan walaupun NGO itu selama ini dianggap dekat dengan PH.

Kata Ahmad Fadhli, dia berpendapat tuntutan reformasi yang dikemukakan Bersih memang sesuatu yang wajar dan PN sentiasa bekerjasama sedia dengan sebarang agenda yang sama dengan Bersih.

"Saya perhatikan tuntutan daripada Bersih ini ialah tuntutan yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan," katanya lagi.

Pun begitu ahli parlimen Pasir Mas itu menjelaskan buat masa ini pihaknya akan meneliti satu per satu tuntutan Bersih dan akan membawanya kepada peringkat tertinggi PN untuk dipertimbangkan.

Mengulas lanjut Razali berkata Bersih hanya membuat desakan selepas rakyat menuntut dan membantah langkah pihak berkuasa memulakan langkah agar individu berprofil tinggi mendapat DNAA.

Sedangkan, tambah Razali, apabila isu tangkapan dan pendakwaan bermotifkan politik berlaku Bersih tidak membuat sebarang langkah yang bermakna.

“(Bersih) Sekadar bercerita benda yang dah lapuk.

"Jadi, pada kami (Bersatu) bersetujulah dengan (Bersih), cumanya saya tak yakin dengan tuntutan yang dibuat Bersih sekarang.

"Sekadar nak buat wayang di sebalik kerajaan, nak tunjukkan konon-konon Bersih selama ini yang menyokong PH kini tidak lagi menyokong.

"Saya nampak macam itulah.

MENARIK:  Selepas 10 tahun, jemaah Iran kembali dapat tunai umrah

“Apa yang dibuat Bersih semalam pun boleh kata sekadar melepaskan batuk di tangga saja,” katanya.

Soalan Muda untuk Putrajaya

Pada masa sama Idris berkata, juga secara peribadi melihat Bersih bukan lagi sebuah NGO yang "bersih" kerana tindakan mereka dianggap seperti acuh tidak acuh saja.

Sebenarnya, kata Razali, ada banyak isu yang berlaku dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk nepotisme dan kronisme yang didakwanya berlaku secara berleluasa.

“Tetapi, di mana Bersih? Dah setahun lebih dah pentadbiran kerajaan perpaduan, tetapi di mana Bersih?" katanya.

Razali juga berpendapat adalah lebih baik untuk Bersih tidak mengheret rakyat untuk bersama-sama dengan mereka sebaliknya cukup untuk bertemu dengan Anwar bagi menyampaikan tuntutan tersebut.

Sementara itu, pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata kerajaan wajib mendengar dan memberi respon yang jelas berhubung tuntutan Bersih.

“Sebab itu perananan Bersih amat penting dalam bab ini.

"Muda mahu tegaskan bahawa agenda reformasi 100 peratus ini adalah sejajar dengan tuntutan Muda kepada kerajaan untuk segera melaksanakan janji dalam pilihan raya yang lalu.

“Ada 10 tuntuan utama tetapi saya nak tekankan soal integriti dan ketelusan pemerintah.

"Kita sebulat suara harus bersetuju untuk kerajaan berhenti dengan pendakwaan selektif - termasuklah memberikan DNAA kepada kumpulan elit politik,” katanya.

Amira Aisya Abdul Aziz

Adun Puteri Wangsa, itu menambah, sebelum ini PH kerap mendendangkan tuntutan agar kerajaan tidak bersikap double standard namun merekalah yang berbuat demikian selepas memegang kuasa.

Menjadikan pengurangan hukuman dan denda ke atas bekas perdana menteri, Najib Razak, Amira Aisya berkata isu tersebut diuruskan kerajaan tanpa sebarang akauntabiliti dan penjelasan.

“Sama juga dengan hal-hal berkaitan pemusatan kuasa kepada perdana menteri.

“Soalan saya, bila kerajaan Malaysia mahu meletakkan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah parlimen?

“Bila kerajaan akan membentangkan rang undang-undang menghadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal sahaja?

"Bila kerajaan mahu membentangkan Akta Pendanaan Politik?

"Begitu juga dengan isu pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya. Ini semua isu-isu utama sepanjang PRU ke-15 tetapi sehingga hari ini tidak ada perkembangan positif,” tegasnya.

Menurut Amira Aisya, Muda memahami perubahan yang diuar-uarkan sebelum ini tidak boleh dijadikan kenyataan dalam tempoh singkat.

“Tetapi, berilah janji dan perkembangan yang baik dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular