Bersih jumpa PM, dapat persetujuan berprinsip beberapa reformasi

Shopee Sale

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini dalam usaha memperhebatkan usaha mereka untuk menuntut pembaharuan.

Dalam perjumpaan itu, Bersih berkata bahawa perdana menteri pada prinsipnya bersetuju dengan beberapa daripada 10 pembaharuan yang dibentangkan semasa mesyuarat mereka.

“Perdana Menteri menyatakan bahawa beliau secara prinsip bersetuju dengan beberapa perkara, namun ada beberapa reformasi yang beliau rasakan perlu ada perbincangan lanjut," kata kumpulan itu.

Dalam satu kenyataan berasingan, Anwar berkata beberapa pembaharuan yang dicadangkan Bersih kepada kerajaan sudah pun dipertimbangkan.

Bagaimanapun, perdana menteri tidak menjelaskannya secara terperinci.

“Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang rekomendasi atau saranan pihak Bersih khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.

“Beberapa saranan pihak Bersih menjadi perhatian saya dan terdapat antara cadangan dalam memorandum tersebut telah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan kerajaan perpaduan,” katanya.

10 pembaharuan yang dicadangkan oleh Bersih kepada Anwar adalah seperti berikut:

  • Reformasi lantikan ahli-ahli dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

  • Menyahklasifikasi laporan pembaikan sistem dan undang-undang pilihan raya

  • Reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya (EOA)

  • Reformasi pendanaan politik

  • Reformasi persempadanan semula kawasan pilihan raya

  • Pemisahan bidang kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya

  • Moratorium kepada pemberian DNAA oleh Peguam Negara dalam kes rasuah

  • Memperkasa institusi Parlimen Malaysia melalui Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen dan Meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat

  • Menggubal Akta Penggal Tetap Parlimen (FTPA) demi kelangsungan kestabilan politik

  • Penggubalan Akta Peruntukan Kawasan

Ketika dihubungi, Pengerusi Bersih Mohammad Faisal Abdul Aziz berkata antara perkara yang dipersetujui perdana menteri adalah mengenai pembaharuan terhadap kesalahan pilihan raya, termasuk mengaudit laporan kewangan calon sebelum hari penamaan.

Pembaharuan lain yang dipersetujui termasuk mengasingkan perananan pendakwa raya dan peguam negara serta memperkasakan Parlimen melalui Akta Perkhidmatan Parlimen.

MENARIK:  Kelayakan minimum perkhidmatan awam dinaikkan kepada SPM

Sementara itu, jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan pada pertemuan lebih sejam itu, mereka berjaya menyerahkan memorandum setebal 40 muka surat kepada perdana menteri.

Ini termasuk 10 lampiran kertas-kertas kajian terperinci berkenaan cadangan-cadangan hasil libat urus dan kajian untuk memperkukuh peralihan demokrasi.

Menurut Bersih, pentadbiran semasa mempunyai peluang keemasan untuk melaksanakan reformasi institusi.

“Sudah tiba masanya kerajaan Malaysia di bawah kepemimpinan Anwar bersama dukungan anggota kabinet dan ahli Parlimen untuk merintis sebuah legasi besar dengan melunaskan agenda reformasi struktural melibatkan reformasi  pilihan raya, reformasi institusi serta menutup ruang rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang akan terus malar segar sebagai pasak baharu negara,” kata kumpulan itu.

Semalam, Bersih mengadakan himpunan aman  #Reformasi100Peratus dengan kehadiran kira-kira 100 peserta, bagi mendesak kerajaan menunaikan janji melaksanakan reformasi menyeluruh.

Mereka berarak ke pekarangan bangunan parlimen sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan dan pembangkang.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular