Bekas ahli parlimen Bangi Ong Kian Ming berpandangan DAP tidak berisiko untuk menjadi "MCA 2.0" kerana wujudnya banyak perbezaan antara dua parti itu.
Pada masa sama, dia berkata orang membuat perbandingan itu kerana mempersoalkan jika DAP akan terus berani untuk bersuara seperti ketika parti itu masih menjadi pembangkang.
"Saya tak fikir DAP ada risiko untuk menjadi MCA 2.0 sepenuhnya dalam masa terdekat," katanya dalam podcast “Are we OK?”.
Pertamanya, Ong berkata MCA berada di tampuk kuasa selama lebih 50 tahun dan mengambil masa lama untuk menjadi seperti hari ini.
Berbeza dengan MCA, katanya, DAP tidak menjadi sebahagian daripada landskap korporat dan perniagaan Cina.
"Namun, saya juga merasakan pimpinan DAP masih lagi orang yang benar-benar mahu berkhidmat kepada negara," katanya.
Pada masa sama, dia menyatakan momentum untuk pembaharuan institusi seolah-oleh terbantut pada masa ini.
Berhubung pengurangan hukuman bekas perdana menteri Najib Razak, Ong berkata jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP sepatutnya mengeluarkan kenyataan, walaupun langkah seumpama itu bukanlah sebahagian amalan parti itu.
Dia membandingkannya dengan Umno, dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu sering mengeluarkan kenyataan berkenaan isu yang timbul.
Tekanan buat Anthony Loke
Ong menyifatkan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berdepan tekanan kerana perlu berdepan dengan banyak kontroversi mutakhir ini.
Antaranya kenyataan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham berkenaan Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah dan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming agar kampung baru Cina di Selangor dicalonkan untuk Tapak Warisan Dunia Unesco.
Dia mengaitkannya dengan pengalaman DAP dalam menguruskan hubungan dengan Bersatu ketika parti itu masih dalam PH pada 2018.
"DAP tidak menguruskan naratif dan hubungannya dengan sesetengah pemimpin Bersatu berhubung beberapa isu melibatkan 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
"Jadi itu, secara langsung atau tidak langsung, menyebabkan Bersatu keluar PH dan membawa kepada kejatuhan kerajaan," katanya.
Katanya lagi, pengalaman itu pastinya meletakkan tanggungjawab yang berat di bahu Loke.
Kampung baru Cina
Berkenaan isu Kampung baru Cina, Ong berkata dengan mengambil kira suasana politik semasa, ia pastinya menjadi isu 3R.
"Proses permohonan Unesco memakan masa panjang dan meleret, maka Nga sepatutnya mendapatkan nasihat dulu sebelum bercakap tentangnya.
"Ada beberapa persoalan praktikal yang patut difikirkannya.
"Misalnya, ada lebih 400 kampung baru Cina di Malaysia. Adakah kita akan jadikan semuanya sebagai tapak warisan Unesco?" soalnya.
Dia juga membangkitkan Jinjang di Kuala Lumpur, yang menurutnya pernah menjadi kampung baru Cina terbesar di Malaysia namun kini termasuk dalam kawasan bandar.
"Jadi, bagaimana anda nak promosikannya sebagai kawasan yang ada nilai sejarah?"
[Baca berita asal]