‘Arwah beria-ia nak ke pantai sebelum menemui ajal’

Shopee Sale

Balu kepada Allahyarham Zulkarnain Mohamed Zubir yang ditemukan lemas berkata arwah suaminya beria-ia mahu beriadah di pantai ketika sampai di Kuala Terengganu, Jumaat lepas.

Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata beliau tidak menyangka percutian mereka sekeluarga buat pertama kali di Terengganu itu, berakhir dengan tragedi.

Bagaimanapun beliau tetap reda dan menganggap pemergian arwah sebagai ujian Allah, yang mahu mengurniakan nikmat syahid kepada suaminya yang berusia 44 tahun itu.

“Arwah ketika sampai dan sebelum datang (ke Terengganu) selalu sebut nak mandi pantai...nak mandi pantai. Itu sahaja yang dia asyik cakap.

“Selain bercuti saya juga sebenarnya datang atas tujuan kerja iaitu memberi taklimat di Balai Raya Tokku (di Kuala Terengganu) Sabtu lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam.

Nora Elina berkata walaupun sedih, beliau berasa amat lega kerana mayat arwah suaminya ditemukan dalam tempoh singkat, serta dapat dikebumikan dengan sempurna.

Justeru beliau amat berterima kasih kepada semua pihak terutama agensi keselamatan, yang bertungkus-lumus mencari mangsa.

MENARIK:  Tiada perjumpaan bincang ‘bina’ kasino, BCorp buat laporan polis

“Saya tak putus-putus berdoa supaya jenazah suami dapat ditemui dan dikebumikan dengan baik. Doakan supaya arwah dikurniakan mati syahid idaman setiap orang Islam,” katanya.

Nora Elina berkata jenazah akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur malam ini, selepas selesai urusan bezah siasat dan akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 Kota Damansara di Selangor.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular