Amir Hamzah: Saya seorang teknokrat, bukan ahli politik

Shopee Sale

Amir Hamzah Azizan yang pernah menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum dilantik menjadi Menteri Kewangan II pada Dis 2023 menganggap dirinya lebih sebagai ahli teknokrat berbanding ahli politik.

Malah, bekas ahli korporat itu menegaskan, susulan pelbagai usaha yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim seperti pelancaran Kerangka Ekonomi MADANI dan pengenalan beberapa siri dasar bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing dan domestik, tugas utamanya lebih tertumpu kepada usaha membantu perdana menteri meletakkan Malaysia di landasan tepat bagi mencapai kemajuan di masa depan.

“Saya di sini bagi membantu perdana menteri menjayakan banyak perkara yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan seperti meringankan tugas seharian beliau dan menyusuli semuanya agar beliau berupaya menumpukan lebih banyak masa dalam hal-hal dasar serta kepimpinan kepada kementerian-kementerian lain," katanya kepada Bernama dalam temu bual media pertamanya baru-baru ini.

Menyoroti tempoh dua bulan selepas menggalas tanggungjawab di Kementerian Kewangan (MOF) Amir Hamzah, 57, menganggap ia satu peralihan menarik apabila berganjak kepada perananan kerajaan selepas lebih dua dekad menceburi dunia korporat.

Pada masa sama, Amir Hamzah turut membawa bersama profil sebagai anak sulung Allahyarham Azizan Zainul Abidin.

Azizan merupakan bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 1988 hingga 1995.

Ditanya mengenai kisah di sebalik pelantikannya, Amir Hamzah mendedahkan dia didekati bagi tawaran menggalas tanggjungjawab itu beberapa bulan sebelum pengumuman dalam rombakan kabinet dibuat Anwar.

“Buat beberapa lamanya saya tidak memberi sebarang persetujuan kerana ini satu keputusan yang besar. Ini juga satu perananan umum dan pada akhirnya saya bukanlah seorang ahli politik.

"Saya adalah ahli teknokrat dan tahu apa kepakaran saya serta apa yang boleh disumbangkan.

"Namun, saya tidak berkompromi dari segi mengingatkan orang ramai bahawa saya bukanlah ahli politik.

"Saya tidak berjuang untuk menawan mana-mana kerusi kerana ini tiada dalam DNA (genetik) keluarga saya... sebahagian besar orang tahu bahawa ayah saya pernah berada dalam perkhidmatan awam," katanya merujuk kepada Azizan yang dikenali dalam sektor awam dan swasta.

Azizan melakar kerjaya cemerlang dalam perkhidmatan awam. Bermula dengan menyertai Kementerian Pelajaran pada 1960 dia seterusnya menjadi setiausaha sulit kanan kepada perdana menteri kedua, ketiga dan keempat.

Demi masa depan anak cucu

Dia bersara sebagai ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri pada 1988 sebelum diberi tugas sebagai presiden dan CEO Petronas.

Berkongsi bagaimana dia dapat menyesuaikan diri dengan perananan baru, Amir Hamzah berkata jawatan itu tidak menyajikan tempoh untuk ‘berbulan madu.’

“Perjalanan peralihan ini sememangnya menarik. Seperti yang anda sedia maklum, saya merupakan ahli korporat yang sibuk bagi satu tempoh yang lama sebelum beralih kepada kerajaan.

“Selepas dua bulan, apa yang pasti, ini bukanlah tempoh bulan madu,” katanya.

Atas alasan itu juga, dia menegaskan akan melakukan yang terbaik bagi membantu perdana menteri mengemudi Malaysia ke arah masa depan lebih cerah.

MENARIK:  Nangis air mata darah sekali pun, yang pergi tetap pergi - Bapa korban

Pada masa sama dia tidak menolak kemungkinan mengambil keputusan yang tidak popular demi keutamaan negara.

“Saya fikir nilai seorang teknokrat ialah kebolehan untuk menyuarakan dan melakukan apa yang tepat demi negara... kadang-kadang ini boleh melibatkan beberapa keputusan yang sukar.

"Tetapi jika keputusan itu tidak popular namun perlu, maka kita kena buatlah, sama ada anda suka atau tidak, kerana mesti memikirkan apa yang penting untuk faedah jangka panjang negara.

"Jika tiada siapa pun yang mahu membuat keputusan itu, maka anak dan cucu kita akan menanggung akibatnya dan saya tidak fikir kita harus berkompromi dengan masa depan mereka semata-mata untuk keperluan kita pada hari ini," katanya.

Ditanya sama ada dia berhasrat atau tidak untuk bertanding kerusi parlimen pada masa depan, Amir Hamzah secara berseloroh berkata: "Tidaklah, saya sudah berusia 57 tahun... tapi tengoklah nanti berapa lama saya di sini dan kalau ada rezeki, adalah. Jika tak ada rezeki, tak mengapa.”

Mengulas penglibatan dalam media sosial, Amir Hamzah mengakui dia bukanlah aktif di platform Internet buat masa ini, namun tidak kisah untuk mengemas kini perkembangan mengenai kementeriannya pada masa depan.

“Saya tidak kisah menggunakan platform media sosial untuk mengemas kini pengumuman kerajaan atau apa yang kami lakukan di MOF.

“Bagaimanapun, saya masih suka mengekalkan privasi (untuk diri sendiri) kerana saya dibawa masuk untuk membantu kerajaan berdasarkan pengalaman saya bekerja di syarikat korporat,” katanya.

Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan II berikutan rombakan kabinet pada 12 Dis 2023.

Dia merupakan teknokrat kedua dalam MOF yang mempunyai latar belakang korporat selepas Tengku Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO kumpulan dan pengarah eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Amir Hamzah menyertai KWSP sebagai CEO pada Mac 2021.

Sebelum itu dia merupakan presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April 2019 hingga Februari 2021 dan memegang beberapa portfolio pengurusan kanan sepanjang kerjayanya dalam dunia korporat.

Lulusan ijazah sarjana muda sains dalam pengurusan (pengkhususan dalam kewangan dan ekonomi) dari Syracuse University, New York, Amir Hamzah juga menghadiri program eksekutif di Stanford University dan Corporate Finance Evening Programme di London Business School.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular