Seorang aktivis PSM digari dan ditangkap di luar Kedutaan AS di Kuala Lumpur hari ini ketika perhimpunan pro-Palestin berlangsung.
Video kejadian menunjukkan seorang pegawai polis berpakaian biasa menjelaskan bahawa Harmit Singh telah ditangkap kerana mengingkari arahan supaya tidak berjalan lebih jauh daripada tempat pegawai itu berdiri.
Ketika dihubungi, Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata Harmit telah ditahan sebelum protes bermula.
"Harmit berjalan ke kedutaan AS untuk (sertai protes), hanya ada lima orang lagi di sana pada masa itu," katanya ketika diminta mengesahkan sebab tindakan polis itu.
Sivarajan berkata bahawa notis mengikut Akta Perhimpunan Aman untuk demonstrasi telah dikemukakan pada 19 Feb, dan penganjur telah bertemu dengan polis pada 22 Feb.
“Polis sedar sepenuhnya bahawa acara itu adalah untuk memberi memorandum (kepada kedutaan AS),” katanya.
Menurut Sivarajan, polis telah mengambil dokumentasi Harmit dan dia dibebaskan sebelum acara itu berakhir.
Bagaimanapun, ahli PSM itu akan diminta memberi keterangan kepada polis di ibu pejabat polis daerah Pudu pada pukul 7 malam ini.
Lebih 50 orang hadir untuk protes di luar Kedutaan AS berdasarkan video yang dikongsi oleh PSM.
AS telah dituduh membantu dan bersubahat dengan kerajaan Israel dalam serangan berterusan ke atas Gaza sejak Oktober lalu sebagai tindakan balas terhadap serangan yang dilakukan oleh Hamas.
Hampir 30,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah terbunuh setakat ini.
Angka kematian Israel adalah sekitar 1,400.