Aktivis: Lebih 100 pekerja Bangladesh terkontang-kanting di Cheras

Shopee Sale

Lebih 100 pekerja asing Bangladesh didakwa terkontang-kanting di Cheras, Kuala Lumpur selaam lebih tiga bulan selepas mereka gagal mendapat pekerjaan yang dijanjikan, kata aktivis hak asasi pendatang asing, Andy Hall.

Dalam laporan yang ditulis Hall, dia mendakwa 104 pekerja itu - yang tiada pekerjaan sebaik tiba di negara ini pada November tahun lepas - diambil oleh sebuah syarikat pembinaan di Cheras.

Laporan itu mengatakan pekerja asing berkenaan telah membayar yuran pengambilan kerja yang terlalu tinggi - antara RM19,500 dan RM21,700 - dan dijanjikan mendapat kerja dengan gaji yang lumayahan serta kemudahan yang baik.

Menurut laporan itu, kebanyakan pekerja meminjam wang daripada pelbagai sumber untuk membayar yuran berkenaan dan seterusnya terjerat dengan hutang.

Salah seorang pekerja yang ditemu bual oleh Hall berkata dia menghadapi masalah kewangan dan harapannya untuk memperoleh pendapatan bagi menyara keluarga musnah.

“Saya dibebani hutang. Saya tidak dapat bayar ansuran bulanan seperti yang saya janjikan ketika saya meminjam wang daripada sumber yang berbeza.

"Pemberi pinjaman mengugut keluarga saya," pekerja itu dipetik sebagai berkata.

Laporan itu juga mendakwa pekerja terpaksa tinggal dalam keadaan terkurung dengan hanya satu kemudahan tandas disediakan untuk lebih 100 pekerja.

Selain makanan yang tidak mencukupi untuk pekerja di mana mereka diberi menu sama iaitu nasi, kacang lentil dan kentang lecek, kadangkala dibiarkan tanpa makanan sehingga empat hari.

Ugut dikasari

Seorang lagi pekerja dilaporkan mendakwa dia tidak diberi makanan sehingga empat hari sebagai hukuman selepas dia bertanya mengenai pekerjaan yang dijanjikan.

Para pekerja berkenaan, yang disebut dalam laporan itu, juga menyatakan mereka menyaksikan dan mengalami penderaan fizikal dan lisan oleh majikan mereka atau wakil syarikat.

“Diceritakan tentang tindakan ganas wakil majikan, termasuk serangan fizikal dan kecaman secara lisan, mengekalkan iklim ketakutan dan ugutan.

"Tidak hanya penderaan fizikal dan lisan, pekerja juga menerima ancaman, menyebabkan ketakutan dan rasa tidak selamat yang melampau," kata Hall.

MENARIK:  Wanita Umno tuntut diberikan kerusi DUN Mahkota

Wakil berkenaan, tulis Hall, yang juga seorang "bos Bangladesh" dilaporkan telah mengeluarkan ancaman bunuh, yang menimbulkan ketakutan di kalangan pekerja.

Pasport pekerja juga dirampas oleh majikan mereka semasa tiba di sini, menyebabkan mereka tidak dapat menuntut hak atau mendapatkan bantuan.

"Ancaman kekerasan dan bahaya, di tambah pula dengan keadaan pekerja yang tidak berdaya, menunjukkan keperluan untuk campur tangan segera dan langkah perlindungan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka," jelasnya.

Sementara itu, laporan itu juga menyebut seramai 18 pekerja telah dipindahkan ke penempatan baru di Terengganu yang memuatkan kira-kira 300 pekerja yang kebanyakannya didakwa menganggur dan tidak mempunyai dokumen.

Hall telah menulis surat kepada Menteri Sumber Manusia Steven Sim serta pegawai berkaitan di Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat dakwaan tersebut dan meminta tindakan diambil ke atas mereka yang melanggar undang-undang.

Dia juga menggesa kementerian berkaitan supaya memberikan sokongan dan bantuan segara kepada pekerja terbabit.

“Campur tangan segera diperlukan untuk melindungi hak asasi pekerja dan mangsa sindiket ini, termasuk memberikan pekerjaan, kebebasan bergerak, kemudahan perubatan, dan pemulangan dokumen mereka,” katanya.

Malaysiakini telah menghubungi Sim dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail untuk mendapatkan komen lanjut.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular