Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi seorang warga emas untuk menarik balik kes mahkamah berhubung dakwaan menghalang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam operasi menangkap anjing liar awal tahun lepas.
Susulan itu, Patrick Khoo bakal menghadapi perbicaraan penuh berhubung pertuduhan menghalang penjawat awam bertugas, walaupun MBPJ telah menarik balik aduan terhadapnya warga emas berusia 70 tahun itu tahun lepas.
Ketika dihubungi, peguam bela tertuduh, Rajsurian Pillai mengesahkan keputusan kes yang belum selesai di Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
“Pengurusan kes seterusnya adalah pada 22 Mac untuk baki dokumen. Kemudian untuk menetapkan tarikh perbicaraan," kata peguam itu.
Malaysiakini cuba menghubungi pihak pendakwa raya mengenai perkara itu.
Pada 31 Mac tahun lepas di hadapan Mahkamah Majistret, Khoo yang bekerja sendiri dibicarakan atas pertuduhan menghalang pegawai MBPJ menangkap anjing liar.
Dia didakwa dengan sengaja menghalang anggota MBPJ Azizul Azzim Norehan daripada menjalankan tugas di sebuah rumah di Taman Kanagapuram, pada 9 malam, 22 Mac tahun lalu.
Di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Khoo dibenarkan dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu kes mahkamahnya selesai.
Sebelum Khoo didakwa di mahkamah, media melaporkan polis sedang menyiasat rakaman yang tular di media sosial menunjukkan pertengkaran antara pegawai MBPJ dan seorang lelaki semasa operasi menangkap anjing liar.
Lelaki itu didakwa cuba melindungi sekumpulan anjing liar dengan membenarkan haiwan itu masuk ke dalam premisnya, dan dikatakan mendorong sepasukan penangkap anjing cuba menghalangnya.