PARLIMEN l Seorang ahli parlimen PAS hari ini mengeluh bahawa masyarakat Cina di negara ini terpaksa bekerja meskipun ketika sempena Tahun Baru Cina kerana ekonomi Malaysia yang lemah.
Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) memetik komen-komen di media sosial, yang menyatakan ini mencerminkan realiti yang dihadapi rakyat.
“Beberapa hari selepas Tahun Baru Cina, perdana menteri (Anwar Ibrahim) ada kata ekonomi negara masih baik.
“Ada komen (di media sosial, pada) hari kedua Tahun Baru Cina, pasar malam semua penuh dengan orang Cina jual makanan. Bayangkan betapa sukar mencari duit sekarang ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Syahir turut menceritakan pengalamannya ketika menaiki Grab pada hari pertama Tahun Baru Cina, apabila dia menyapa seorang pemandu Cina yang bekerja pada malam itu.
“Hari pertama, Tahun Baru Cina, malamnya (saya) ambil penerbangan terakhir (dari) KB (Kota Bharu) ke KL (Kuala Lumpur).
“Sampai, ambil Grab, tengok driver (pemandu) namanya Cina. Malam raya, raya Cina.
“Saya masuk, saya kata hello, saya sebut Gong Xi Fa Chai. Beliau senyum dan kami berbual.
“Pada hari perayaan dia terpaksa bawa Grab. Ini warganegara sebenar, bukan cybertrooper.
“Tetapi kerajaan masih menafikan dan tidak ambil berat (kepada rakyat),” katanya lagi.
Kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini telah mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada pembangkang, mengenai cara kerajaan mengendalikan ekonomi negara.
Anwar pada Ahad lalu dipetik sebagai berkata, bahawa bukan hanya ringgit sahaja yang merudum tetapi mata wang Asean lain seperti yen Jepun dan renminbi China, kecuali dolar Singapura yang berjaya menongkah arus di rantau ini.
Ringgit kini berlegar sekitar RM4.76 hingga RM4.78 berbanding dolar AS sejak beberapa lalu.