Abdul Taib nakhoda Sarawak selama 33 tahun

Shopee Sale

Pemergian Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud merupakan satu kehilangan yang cukup besar buat Sarawak dan negara.

Figura penting ‘Bumi Kenyalang itu yang turut menerima gelaran sebagai bapa pemodenan Sarawak meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi ini, pada usia 87 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

Menelusuri lembaran sejarah moden Sarawak, jika tidak membicarakan jasa dan pengorbanan Tun Abdul Taib, ia boleh diibaratkan umpama mengoyak atau mengasingkan sejumlah besar helaian muka surat dari sebuah buku yang tebal.

Tokoh penting itu merupakan watak utama yang menakhodai Sarawak sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun dalam melayari cabaran tahun 80-an sehingga memasuki abad ke-21.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Abdul Taib menerima pendidikan rendah di Sekolah St. Joseph di Miri sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan St. Joseph di Kuching.

Allahyarham kemudiannya menerima biasiswa (New Colombo Plan Scholarship) untuk mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide di Australia, sebelum kembali semula ke Sarawak.

Permulaan khidmat Abdul Taib selama 61 tahun dalam pentadbiran kerajaan serta gelanggang politik bertitik tolak apabila beliau dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sarawak dalam Kabinet Negeri pertama yang diterajui Ketua Menteri ketika itu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan pada 1963.

Walaupun menganggotai Kabinet negeri pertama sewaktu baru berusia 27 tahun, Allahyarham telah menunjukkan sikap kesediaan serta kematangan beliau dalam menghadapi cabaran demi negeri kelahirannya Sarawak yang ketika awal penubuhannya berdepan ancaman komunis serta konfrontasi oleh negara jiran Indonesia.

Ganti bapa saudara

Setelah berkhidmat selama beberapa tahun dalam kerajaan negeri, panggilan untuk berbakti di peringkat Persekutuan tiba apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Samarahan pada 1969.

Khidmatnya di peringkat Persekutuan memberi pendedahan besar buat dirinya apabila memegang pelbagai portfolio penting seperti Menteri Perusahaan Utama (1972), Menteri Perancangan Am dan Penyelidikan Sosio Ekonomi (1974), Menteri Pertahanan (1978) dan Menteri Wilayah Persekutuan (1980).

Bagai sirih pulang ke gagang, 1981 menjadi tahun penting buat Abdul Taib apabila meletak jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri Sebandi.

Setelah menang tanpa bertanding dalam PRK tersebut, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Tanah dan Galian Sarawak sebelum menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981.

Selaku watak utama yang mengetuai kerajaan Sarawak selama 33 tahun, pelbagai agenda pembangunan diperkenalkan Abdul Taib dalam usaha membawa kemajuan kepada negeri itu yang agak terbelakang ketika itu.

MENARIK:  Beri kami 6 bulan, KPF bukan koperasi berpenyakit - Shabery 

Antara usaha yang dilaksanakan Abdul Taib untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi di Sarawak ialah dengan penubuhan Zon Perindustrian di Samajaya, Demak Laut, Samalaju dan Tanjung Manis yang mewujudkan peluang pekerjaan buat penduduk tempatan.

Di bawah pentadbiran Allahyarham juga, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah ditubuhkan sebagai pemangkin pembangunan tenaga boleh baharu seperti tenaga hidro di negeri itu.

Loji hidroelektrik yang pertama Sarawak iaitu empangan Batang Ai yang berkuasa 108 megawatt (MW) telah beroperasi pada 1985, diikuti oleh Bakun (2,400MW) pada 2011 dan Murum (944MW) pada 2014.

Pentadbiran Abdul Taib turut menyaksikan penubuhan bahagian pentadbiran baharu seperti di Mukah, Betong dan Samarahan selain pembinaan Dewan Suarah di semua bandar utama di Sarawak untuk keperluan sosial masyarakat.

Selain aspek pembangunan fizikal, pembangunan modal insan turut menjadi keutamaan Abdul Taib dalam memastikan anak-anak Sarawak mendapat pendidikan berkualiti serta berkemahiran tinggi.

Atas dasar itu, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Teknologi Swinburne kampus Sarawak, Universiti Curtin telah ditubuhkan selain memastikan Sarawak mempunyai universiti awam pertamanya dengan penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Perjalanan Abdul Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak berakhir apabila beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2014 dan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem (gambar atas).

Selepas hampir 33 tahun menabur jasa sebagai Ketua Menteri, Abdul Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada pada 1 Mac 2014.

Setelah hampir 10 tahun dalam jawatan itu, Abdul Taib telah digantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri pada 29 Jan tahun ini.

Walau berdepan pelbagai sentimen terhadap legasi pentadbirannya, Abdul Taib terus menabur bakti terhadap tanah tumpah darahnya sehingga riwayat terakhirnya dan semua pengorbanannya itu telah diabadikan dalam lembaran sejarah moden Bumi Kenyalang.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular