Seramai 326 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara berjaya diselamatkan dari tahun 2021 hingga 23 Feb lepas, manakala 133 orang masih terkandas di luar negara.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kebanyakan mangsa dibawa ke negara-negara seperti Kemboja, Myanmar, Thailand dan Laos.
“Daripada kajian yang dijalankan 73 peratus bekerja sebagai scammer, 12 peratus sebagai petugas khidmat pelanggan, lapan peratus bekerja di kasino dan tujuh peratus menjalankan pelbagai pekerjaan seperti tukang masak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Kursus Penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Zon Sabah dan Sarawak tahun 2024 di sini, hari ini.
Rusdi berkata antara faktor utama yang membuat mangsa dipengaruhi dan diperdayakan untuk bekerja di luar negara iaitu faktor tarikan tawaran gaji lumayan serta mangsa yang hilang punca pendapatan.
“Mengikut trend semasa, mangsa-mangsa ini terpengaruh dan diperdaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di laman sosial contonya seperti Facebook,” katanya.